Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Dr Ghafur Dedah Faizal Tahir Pilih Jadi ‘Ahmad’ Demi Elak Layanan Istimewa Ketika Sertai Misi Bantuan

dr ghafur dedah faizal tahir pilih jadi ‘ahmad’ demi elak layanan istimewa ketika sertai misi bantuanFoto: Instagram

Perkongsian oleh aktivis kemanusiaan, Dr Ghafur Mustakim di Instagram baru-baru ini membuka sisi berbeza buat penyanyi, Faizal Tahir ketika menyertai satu misi bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Advertisement

Menurut Dr Ghafur, meskipun Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir merupakan figura terkenal yang memiliki reputasi besar dalam industri muzik tanah air, sikapnya sepanjang berada di lapangan langsung tidak menggambarkan status sebagai seorang selebriti.

Katanya, lokasi misi kali ini agak terpencil sehingga mereka terpaksa bermalam di rumah penduduk yang terkesan akibat banjir. Keadaannya jauh daripada selesa.

“Kali ini memang kena tidur di rumah mangsa banjir sebab tempat jauh dari mana-mana penginapan. Tidur pula beralaskan tikar sahaja, tak ada kipas, tak ada selimut. Tandas pun seadanya, malam memang banyak nyamuk,” kongsinya.

 

 

Walaupun berdepan keadaan serba kekurangan termasuk makanan yang terhad, Faizal tidak pernah bersuara tentang ketidakselesaan tersebut.

“Banyak kali saya tanya dia okey ke duduk rumah kampung macam ni. Jawapan dia ringkas saja, ‘ok, no problem’,” tulisnya lagi.

Sepanjang misi berlangsung, penyanyi lagu Assalamualaikum itu turut sama turun padang seawal pagi bagi mengagihkan bantuan dan terus bekerja sehingga hampir tibanya waktu berbuka puasa.

Malah, dia tidak meminta ruang untuk berehat, sebaliknya menawarkan diri membantu apa sahaja yang diperlukan.

“Tak ada minta rehat, siap tanya lagi apa lagi boleh tolong. Memang tak berkira masa dan tenaga,” jelas Dr Ghafur.

Apa yang lebih menyentuh hati, Faizal memilih untuk tidak mendedahkan identitinya sebagai seorang artis. Dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad kepada penduduk setempat.

Menurut Dr Ghafur, identitinya terbongkar apabila ada individu menyedari wajahnya menerusi video di YouTube, termasuk lagu duet bersama Harris J.

Apabila ditanya mengapa tidak mahu dikenali sebagai penyanyi terkenal, jawapannya cukup sederhana.

“Tak nak orang layan berbeza-beza,” katanya.

Bagi Dr Ghafur, sikap rendah diri dan keikhlasan yang ditunjukkan itu wajar dijadikan teladan, membuktikan bahawa kemasyhuran bukan alasan untuk menuntut layanan istimewa ketika membantu insan lain.

Sumber: Instagram @ghafur_mustakim

ERA Muzik Hit Terkini