Foto: Instagram
Pelakon dan model terkenal dari China, Fan Bingbing, menerima penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka. Majlis berprestij itu diadakan sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, di Seri Negeri, hari ini.
Advertisement
Dalam ucapannya selepas majlis tersebut, Bingbing menegaskan komitmennya untuk terus membantu memperkukuh sektor pelancongan Melaka. Beliau turut menyatakan hasrat untuk kembali semula ke negeri itu pada bulan September, bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang akan berlangsung di Melaka.
“Sudah tentu saya akan kembali ke Melaka. Saya berbesar hati untuk terus berkongsi usaha bagi memperkasa pelancongan negeri ini. Pada September nanti, saya akan hadir semula kerana terdapat banyak inisiatif baharu yang sedang dirancang untuk sektor pelancongan,” katanya.
Fan Bingbing sebelum ini telah dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). Pelantikan itu bertujuan memperkenalkan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Kesan daripada pelantikan tersebut amat memberangsangkan apabila Melaka berjaya mencatat lebih 320 juta carian di platform digital. Sementara itu, carian yang berkait dengan nama Fan Bingbing pula melepasi angka 800 juta di aplikasi popular seperti WeChat dan Weibo.
Secara keseluruhannya, promosi berkenaan menyumbang kepada 1.5 bilion digital impressions mengenai Melaka di WeChat, sekali gus melakar pencapaian baharu yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Impaknya turut dapat dilihat pada peningkatan jumlah kedatangan pelancong dari China ke Melaka. Statistik menunjukkan angka tersebut melonjak daripada 204,818 pelancong pada tahun 2023 kepada 664,687 orang pada tahun berikutnya, membuktikan usaha promosi bersama Fan Bingbing memberi kesan positif yang sangat ketara.
Sumber: Berita Harian