
Foto sekadar hiasan
Advertisement
FIFA menuntut negara asal tujuh pemain warisan Malaysia menjalankan siasatan penuh berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang digunakan untuk melayakkan mereka beraksi bersama Harimau Malaya.
Badan bola sepak dunia itu turut menggesa supaya laporan polis dibuat dan individu yang bertanggungjawab diheret ke mahkamah sekiranya wujud kesalahan jenayah.
Menurut hasil siasatan FIFA, sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terbabit yang digunakan untuk menyokong status warisan didapati tidak sepadan dengan rekod rasmi di negara masing-masing.
Penemuan itu menimbulkan syak bahawa dokumen berkenaan mungkin telah dipalsukan atau diubah suai sebelum dihantar kepada pihak berkuasa bola sepak Malaysia.
Susulan penemuan tersebut, FIFA telah menjatuhkan hukuman ke atas FAM dan menggantung tujuh pemain terlibat selama 12 bulan. Hukuman itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak negara yang mahu mengetahui pihak sebenar yang harus dipertanggungjawabkan.
Di samping itu, FIFA turut menegaskan bahawa isu pemalsuan dokumen bukan sekadar melibatkan FAM, tetapi juga negara asal pemain yang perlu memeriksa bagaimana maklumat tidak sah itu boleh lolos daripada sistem rekod rasmi mereka. Negara tersebut digesa meneliti semula proses pengesahan maklumat serta memastikan mana-mana individu yang terlibat dalam pemalsuan dibawa ke muka pengadilan.
Sementara itu, FAM memaklumkan pihaknya sedang meneliti keputusan penuh FIFA dan mempertimbangkan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Badan induk bola sepak negara itu turut menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menyelesaikan isu ini dan memulihkan imej bola sepak Malaysia.
Sumber: Astro AWANI