Skip to main content

Advertisement

Hiburan

FIFA Nafikan Dakwaan Pindah Ibu Pejabat Serantau Ke Indonesia, Kekal Beroperasi Di Kuala Lumpur

fifa nafikan dakwaan pindah ibu pejabat serantau ke indonesia, kekal beroperasi di kuala lumpur

Foto sekadar hiasan

Advertisement

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menafikan dakwaan bahawa badan induk bola sepak dunia itu akan memindahkan pejabat serantaunya dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia.

Menurut laporan New Straits Times (NST), sumber dalaman mengesahkan bahawa pejabat FIFA yang terletak di KL Eco City akan kekal beroperasi seperti biasa, dan sebarang khabar angin mengenai pemindahan operasi ke negara jiran adalah tidak berasas.

“Pejabat FIFA di Kuala Lumpur tidak akan dipindahkan ke Jakarta. Operasi akan diteruskan seperti biasa. Khabar angin yang tersebar ketika ini tidak benar,” ujar sumber tersebut.

Pejabat serantau FIFA di Kuala Lumpur mula beroperasi secara rasmi sejak awal tahun 2018, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif pembangunan bola sepak global melalui Forward Program. Pejabat ini memainkan peranan penting dalam menyelaras aktiviti pembangunan bola sepak di seluruh rantau Asia dan Oceania.

Ketika ini, pejabat tersebut diketuai oleh Sanjeevan Balasingam, yang memegang jawatan sebagai Pengarah FIFA bagi Rantau Asia-Oceania.

Penafian ini sekali gus menamatkan spekulasi yang timbul di media sosial dan beberapa platform berita tidak rasmi yang mendakwa FIFA akan mengalihkan operasinya ke ibu kota Indonesia. Pihak FIFA menegaskan komitmennya terhadap pembangunan bola sepak serantau menerusi pusat pentadbiran yang berpangkalan di Malaysia.

Sumber: New Straits Times (NST)

ERA Muzik Hit Terkini