Foto: The Sun UK
Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan maut selepas gempa bumi bermagnitud 6.9 melanda kawasan tengah Filipina pada malam semalam, mengakibatkan kecederaan, kemusnahan harta benda serta ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah.
Advertisement
Menurut laporan The Sun UK, gegaran berlaku sekitar jam 9.59 malam waktu tempatan, sekali gus memutuskan bekalan elektrik dan menyebabkan penduduk berlari keluar rumah dalam keadaan gelap.
Di daerah San Remigio, utara Pulau Cebu, polis mengesahkan lima kematian termasuk empat mangsa yang ditemukan di sebuah pusat sukan, manakala seorang kanak-kanak terbunuh selepas dihempap serpihan bangunan.
Di kawasan lain sekitar San Remigio, selatan Bogo, enam lagi nyawa terkorban termasuk tiga anggota pengawal pantai serta seorang anggota bomba.
Selain gangguan elektrik, sistem bekalan air turut rosak, sementara beberapa bangunan dan jalan raya dilaporkan runtuh akibat gegaran kuat itu. Pusat gempa dikesan kira-kira 17 kilometer dari timur laut Bogo, sebuah bandar yang menempatkan lebih 90,000 penduduk.
Pegawai penyelamat, Wilson Ramos, berkata ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan. Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat berdepan kesukaran berikutan kegelapan serta gegaran susulan yang berterusan.
Sumber: The Sun UK