Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Saya Bukan Hero, Tapi Kita Tak Boleh Terus Diam….” — Greta Thunberg Titip Pesan Kemanusiaan Isu Palestin

“saya bukan hero, tapi kita tak boleh terus diam….” — greta thunberg titip pesan kemanusiaan isu palestinFoto: Reuters

Aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, tiba di Athens, Greece, selepas diusir dari Israel bersama lebih 170 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang lain, lapor The Independent semalam.

Advertisement

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos, Greta menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza, sambil menegaskan bahawa dunia kini menyaksikan genosid secara terang-terangan.

“Saya bukan wira. Apa yang kami lakukan hanyalah perkara minimum.

“⁠Semua orang sepatutnya terus memberi tumpuan kepada Gaza. Genosid ini dijalankan oleh negara, media, dan syarikat,” katanya ketika ditemui media di Athens.

Greta, 22, turut menegaskan bahawa tiada alasan untuk mana-mana pihak mendakwa tidak mengetahui tentang kekejaman yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.

⁠“Tiada siapa boleh berkata mereka tidak tahu apa yang berlaku. Pada masa akan datang, tiada siapa boleh mendakwa mereka tidak tahu genosid ini pernah berlaku,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan undang-undang antarabangsa, semua negara mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk mencegah serta menghentikan sebarang bentuk pembunuhan beramai-ramai.

⁠“Kewajipan itu bermaksud kita perlu menghentikan persekongkolan, memberi tekanan diplomatik dan menghentikan bekalan senjata.

“Namun, semua itu tidak berlaku. Kita tidak melihat sebarang tindakan konkrit daripada negara-negara kita,” tegasnya.

Sementara itu, beberapa aktivis lain yang turut diusir memaklumkan kepada media bahawa mereka mengalami penderaan fizikal dan layanan buruk oleh pengawal Israel sebelum dibebaskan.

Sumber: Reuters

ERA Muzik Hit Terkini