Skip to main content

Advertisement

Hiburan

EPL Akur Suara Penyokong, Musim Baharu Lebih Bermakna Dengan Harga Tiket Kekal

epl akur suara penyokong, musim baharu lebih bermakna dengan harga tiket kekal

Foto: Reuters

Advertisement

Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali lagi menunjukkan bahawa suara penyokong bukan sekadar gema di tribun, tetapi kuasa yang mampu menggerakkan perubahan.

Dalam keputusan yang mendapat pujian meluas, semua kelab EPL sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan harga siling tiket penyokong pelawat pada £30 (RM172) untuk musim ke-10 berturut-turut. Ini merupakan langkah penting yang membuktikan bahawa kesetiaan penyokong masih dihargai di tengah gelombang komersialisasi bola sepak moden.

Sejak dasar harga siling ini diperkenalkan pada 2016, suasana perlawanan semakin hidup dan rancak. Kehadiran penyokong pelawat melonjak dari 82% kepada 91% musim lalu, yang mencatatkan satu pencapaian luar biasa yang memberi nafas segar kepada setiap stadium.

Bayangkan hampir sejuta penyokong pelawat (953,420) sanggup mengembara ke stadium lawan musim 2024–25, membawa bersama semangat, nyanyian dan warna pasukan kesayangan mereka. Tanpa mereka, bola sepak hanyalah permainan kosong di atas padang sunyi.

Dalam satu kenyataan, EPL menyebut

“Liga Perdana dan kelab mengiktiraf kos tambahan yang ditanggung oleh penyokong yang mengikuti pasukan mereka sepanjang musim, serta suasana luar biasa yang mereka wujudkan di stadium.”

Keputusan ini tidak datang secara automatik. Ia hasil gerakan akar umbi yang kuat, diterajui oleh kempen penyokong ‘Stop Exploiting Loyalty’ (Hentikan Pengeksploitasian Kesetiaan) yang dilancarkan. Suara rakyat bola sepak akhirnya membuahkan hasil.

Kelab-kelab besar seperti Liverpool, Brentford dan Manchester City bertindak mengambil inisiatif dengan membekukan harga tiket untuk musim akan datang, ini dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa tekanan dari penyokong bukan sekadar suara sumbang di media sosial, tetapi kuasa sebenar yang menggoncang menara pengurusan kelab.

epl akur suara penyokong, musim baharu lebih bermakna dengan harga tiket kekal

Foto Hiasan

Musim baharu Liga Perdana akan bermula pada15 Ogos 2025 dan tamat pada 24 Mei 2026 (tertakluk pada perubahan). Dengan harga tiket kekal, penyokong boleh kembali merancang perjalanan epik mereka ke tempat lawan, bukan sekadar untuk menyokong, tetapi untuk terus menjadi sebahagian daripada sejarah.

Bola sepak tidak akan pernah menjadi milik kapitalis sahaja. Ia milik mereka yang berdiri dalam hujan, menyanyi di dalam sejuk dan tetap hadir walaupun pasukan tidak menang dan gagal meraih mata.

Sumber: Reuters

ERA Muzik Hit Terkini