Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Korang Memang Tak Ada Kerja Dalam Hidup?...” - Intan Najuwa Tempelak Netizen

“korang memang tak ada kerja dalam hidup?...” - intan najuwa tempelak netizenFoto: Instagram

Pelakon terkenal Datin Intan Najuwa menzahirkan rasa kurang senang terhadap tindakan segelintir netizen yang didakwa tidak henti-henti mencari kelemahan serta kesilapannya, seolah-olah kehidupannya menjadi beban dan mengganggu ketenteraman orang lain.

Advertisement

Intan, atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid yang berusia 27 tahun, menegaskan bahawa beliau tidak memahami mengapa masih ada pihak yang begitu gigih meneliti kekurangan orang lain, sedangkan hal tersebut langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada kehidupan mereka.

Menurutnya, setiap individu berhak untuk menampilkan diri mengikut cara masing-masing termasuk menggunakan suntingan, penapis wajah atau apa sahaja aplikasi bagi memperbaiki gambar. Apa yang penting, katanya, tindakan itu tidak menyusahkan orang lain.

“Kalau nak ubah wajah jadi bujur, segi tiga, nampak pelik macam alien ataupun pakai filter tebal sekali pun, itu hak masing-masing. Janji kita tidak ganggu hidup orang lain.

“Lebih melampau lagi, ada yang sanggup meneliti gambar dengan mengezum hanya untuk mencari kelemahan satu persatu. Seolah-olah tiada perkara lain yang lebih berfaedah dalam hidup,” katanya menerusi satu hantaran di platform Threads.

Tambah pelakon drama popular Kekasih Paksa Rela itu, setiap insan pasti mahu kelihatan baik dalam gambar kerana ia adalah memori yang akan kekal sepanjang hayat.

“Gambar kita, tetapi orang lain pula yang terasa sakit hati. Semua orang sememangnya mahu kelihatan menarik dalam foto kerana ia akan menjadi kenangan yang tidak hilang,” ujarnya lagi.

Kenyataan Intan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen, dengan kebanyakan mereka bersetuju bahawa kecaman keterlaluan terhadap selebriti tidak wajar diteruskan.

Seorang pengguna media sosial menegaskan bahawa setiap orang berhak memilih caranya sendiri dalam bergambar. “Sudahlah, hidup masing-masing. Kalau dia nak guna filter sekalipun, itu bukan urusan kita dan bukan kita yang menanggung dosa dia,” katanya.

Malah ada juga yang menyindir tindakan pihak yang terlalu sibuk mencari salah orang lain. “Bayangkan ada yang beria mencari kesalahan Datin, sedangkan beliau tetap tenang dan mampu membeli apa sahaja tanpa melihat tanda harga. Mereka yang sibuk mengkritik itu mungkin golongan yang tidak mempunyai pekerjaan dan hanya membuang masa,” tulis seorang lagi pengguna.

Sementara itu, ada netizen lain yang tampil mempertahankan pelakon berkenaan dengan menyatakan: “Selagi Intan bahagia dan tidak menyusahkan sesiapa, biarlah dia dengan kehidupannya. Kita sebagai peminat hanya mampu tumpang gembira.”

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Intan Najuwa berdepan dengan serangan kecaman daripada pihak tertentu. Sebelum ini, dia juga pernah berhadapan dengan tuduhan dan kritikan yang mempertikai gaya hidup mewah serta tingkah lakunya sebagai seorang selebriti.

Sumber: Threads

ERA Muzik Hit Terkini