Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Bekas Pemain Arsenal Jay Emmanuel-Thomas Mengaku Bersalah Seludup Dadah

bekas pemain arsenal jay emmanuel-thomas mengaku bersalah seludup dadah

Foto: Sky News

Advertisement

Dahulu disanjung sebagai bintang masa depan Arsenal. Kini, nama Jay Emmanuel-Thomas hanya tinggal kenangan dalam senarai panjang atlet yang tersungkur kerana pilihan sendiri. Bekas pemain bola sepak berusia 34 tahun itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun semalam selepas didapati bersalah merancang penyeludupan dadah bernilai £600,000 (RM3.4 juta) ke Britain.

Ini bukan sekadar kisah jenayah. Inilah drama kejatuhan bintang, ironi pahit tentang bakat besar yang memilih jalan gelap daripada menyarung jersi keramat The Gunners kepada bergari di kandang tertuduh.

Pada September lalu, pihak berkuasa British menggagalkan cubaan penyeludupan besar-besaran apabila mereka menemui 60 kilogram ganja dalam bagasi dua wanita yang tiba di Lapangan Terbang Stansted, London, dalam penerbangan dari Bangkok melalui Dubai. Lebih mengejutkan, kedua-dua wanita itu merupakan teman wanita Emmanuel-Thomas dan rakannya yang sebenarnya percaya mereka membawa masuk emas.

Namun siasatan forensik dan bukti komunikasi digital membongkar kebenaran. Emmanuel-Thomas merupakan dalang di sebalik rancangan tersebut. Dia merekrut, mengatur dan bersedia mengambil untung besar, sebelum takdir dan undang-undang menghalang langkah seterusnya.

Hakim Alexander Mills tidak berselindung dalam kata-katanya ketika menjatuhkan hukuman,

"Disebabkan tindakan kamu sendiri, kamu tidak lagi akan dikenali sebagai pemain bola sepak profesional. Kamu kini dikenali sebagai penjenayah. Seorang pemain profesional yang mensia-siakan segalanya."

Kata-kata itu menikam, tetapi benar. Emmanuel-Thomas bukan nama kecil. Lulusan akademi Arsenal ini pernah menjanjikan masa depan cerah bersama nama-nama besar lain seperti Jack Wilshere dan Theo Walcott. Namun selepas hanya lima penampilan bersama skuad utama Arsenal, kerjayanya mula terumbang-ambing lalu mengembara dari Ipswich Town ke Bristol City, QPR, Aberdeen, bahkan ke kelab Thailand, PTT Rayong.

bekas pemain arsenal jay emmanuel-thomas mengaku bersalah seludup dadah

Foto: Bristol City FC

Terakhir, dia bersama Greenock Morton di Liga Kejuaraan Scotland sebelum dipecat serta-merta selepas ditahan.

Peguamnya berhujah, keputusan menyertai aktiviti jenayah itu berpunca daripada masalah kewangan serius, ditambah tekanan sebagai bapa kepada dua anak. Tetapi bagi sistem keadilan dan peminat bola sepak, itu bukan alasan untuk menghancurkan masa hadapan.

Jay Emmanuel-Thomas kini bukan sekadar satu lagi statistik pemain yang gagal memenuhi potensinya. Dia merupakan contoh tragedi moden seorang atlet yang walau dikurniakan peluang dan bakat, akhirnya tumbang kerana kerakusan dan mengambil keputusan salah.

Sumber: Sky News

 

ERA Muzik Hit Terkini