Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, KL dan Putrajaya kini masuk hari ke-3.

Umum sudah sedia maklum bahawa sepanjang PKPB ini, tiada aktiviti merentas daerah dan juga negeri dibenarkan, melainkan atas urusan penting seperti bekerja dan juga empat kategori individu ini:
Advertisement
1. Individu dari kawasan yang sedang melaksanakan PKPB iaitu negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ingin melakukan pergerakan ke negeri lain atas sebab-sebab kecemasan (sakit dan kematian) sahaja,
2. Individu yang hendak merentasi kawasan yang sedang melaksanakan PKPB iaitu negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya atas sebab-sebab kecemasan,
3. Individu dari luar yang ingin memasuki ke kawasan yang sedang melaksanakan PKPB atas sebab-sebab kecemasan, dan
4. Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, mereka yang mempunyai urusan penting atau bekerja, boleh menunjukkan surat dari majikan dan pas kerja ketika melalui sekatan jalan raya.

Sekiranya didapati mana-mana individu cuba untuk merentasi negeri tanpa urusan yang penting, pihak polis boleh mengarahkan mereka untuk berpatah balik.
Menurutnya lagi, dalam tempoh 24 jam PKPB dilaksanakan, sebanyak 63 sekatan jalan raya telah dibuat di seluruh negeri Selangor.