Sebuah bandar di negara Ukraine, Dnipro, setakat ini hanya mencatatkan 13 kes jangkitan COVID-19. Namun ia tidak bermaksud mereka boleh selesa menjalani kehidupan seperti biasa.
Disebabkan mahu penduduk di bandar tersebut kekal berada di rumah agar rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan, Datuk Bandar Dnipro, Borys Filatov, telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggali ratusan kubur sebagai peringatan awal kepada orang ramai.
Advertisement

Bandar Dnipro mempunyai kira-kira satu juta penduduk setakat ini dan masih belum ada sebarang kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan.

"Kami sudah bersedia untuk yang paling teruk. Ada 600 kubur digali di kawasan perkuburan bandar ini andai ada kematian dilaporkan. Sebanyak satu ribu beg mayat juga telah disediakan untuk menyimpan mayat tersebut.
"Ini bukan untuk panik, sebaliknya satu persediaan awal andai berlaku sebarang musibah," kata datuk bandar itu di laman Facebook beliau.
Jurucakap datuk bandar, Yulia Vitvitska juga telah mengesahkan kini sebanyak 615 kubur telah digali dan 2,000 beg mayat untuk menguruskan mangsa jangkitan COVID-19.