Bekalan air kepada jutaan penduduk di Lembah Klang nyaris terputus apabila satu pencemaran sisa minyak hitam berjaya dikesan di alur sungai di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan.

Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menghalang sisa minyak hitam itu daripada terus mengalir ke Sungai Balak dan seterusnya ke Sungai Langat yang menjadi sumber air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, LRA Labohan Dagang dan LRA Bukit Tampoi.
Advertisement
Dalam satu kenyataan, LUAS menerima aduan pencemaran sisa minyak hitam itu daripada orang awam sekitar jam 6 petang.
“Hasil siasatan pihak kami mendapati, bahan pencemaran tersebut adalah sisa minyak enjin terpakai yang dibuang ke dalam alur sungai itu.
“Aliran air sungai ini akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat. LUAS telah membuat pensampelan dan sedang mengambil tindakan kawalan di lokasi kejadian,” katanya dalam akaun Facebook semalam.
LUAS telah menggunakan oil pad dan oil boom di lokasi yang tercemar bagi menghalang sisa minyak hitam dari memasuki sungai.

Polis juga telah menerima laporan mengenai insiden itu dan dipercayai ada unsur-unsur sabotaj.
Kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tali air atau sungai.
Sumber: Kosmo! / Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)