Kajian awal dari sekumpulan penyelidik di China mendapati, individu yang mempunyai darah jenis A lebih mudah terdedah dan dijangkiti COVID-19, berbanding mereka yang berdarah O.

Memetik laporan dari SCMP, kajian berkenaan mendapati sebahagian besar pesakit dari Wuhan dan Shenzen yang dijangkiti adalah dari kumpulan pesakit berdarah jenis A. Hanya sebilangan kecil sahaja pesakit berdarah O yang dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak itu.
Advertisement
"Pesakit dalam kumpulan darah A dinasihatkan untuk meningkatkan daya tahan tubuh bagi mengurangkan risiko dijangkiti," menurut penyelidik di Pusat Perubatan yang berpangkalan, di Wuhan, China.
Walaupun begitu, kajian yang diketuai oleh Wang Xinghuan masih terlalu awal dan perlu banyak lagi kajian dan pemerhatian bagi membuktikan kesahihannya.
Kajian berkenaan diterbitkan di Medrxiv.org telah membuat perbandingan kepada lebih 2,173 jenis darah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19, di Wuhan dan Shenzhen dengan 3,694 penduduk yang bebas daripada virus itu di sekitar Wuhan.

Hasil kajian mendapati lebih 31.16 peratus penduduk Wuhan mempunyai darah jenis A dan kajian di Hospital Wuhan Jinyintan, mengesahkan 37.75 pesakit COVID-19 di hospital itu mempunyai darah jenis sama.
Sampel darah yang sama juga menunjukkan 25.8 peratus mempunyai darah jenis O berbanding 33.84 peratus daripada keseluruhan populasi.
Sebanyak 206 pesakit meninggal akibat virus itu, selain 85 pesakit atau 41.26 peratus adalah daripada kumpulan darah A dan 52 kematian daripada individu berdarah O.
Penyelidik juga memberitahu bahawa orang ramai yang berdarah A tidak perlu panik kerana penyelidikan yang lebih terperinci perlu diadakan sebelum mengesahkan hasil kajian ini.
"Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus, Ia juga tidak bermakna individu berdarah O juga selamat, anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa," kata Gao Yingdai, penyelidik yang berasal dari Tianjin.
Untuk perkembangan lain berkenaan Covid-19, dapatkan maklumat terkini di sini.