Aktiviti berbasikal dilihat sebagai salah satu hobi masa kini. Namun, aktiviti ini boleh juga mendatangkan pelbagai masalah khasnya kepada pengguna jalanraya.
Memetik hantaran dari akaun rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan larangan berbasikal di lebuh raya.
Advertisement

Sekiranya ada individu yang ingkar dengan larangan ini, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 70 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan yang tertentu.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda tak melebihi RM1,000 atau penjara tak lebih dari tiga bulan atau kedua-duanya sekali menanti mereka yang didapati bersalah.
Kesalahan itu ada dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengabaikan tanda kenderaan yang tidak dibenarkan di lebuh raya.
"Di semua plaza tol ada papan tanda yang memaklumkan larangan berkenaan. Dari segi penguatkuasaan, ada peruntukan undang-undang khusus mengenai perkara itu iaitu Seksyen 79(2) akta sama kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.
"Apa yang kami pentingkan adalah keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk tahap kesihatan mereka juga yang boleh terjejas dengan bau asap kenderaan di tempat yang sibuk," kata Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan basikal ditempat yang sepatutnya dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan orang lain.
Sumber: PDRM