Sedar tak tahun 2020 semakin menghampiri kepada penghujungnya?

Berbaki sebulan setengah menuju 2021, kita bakal meninggalkan tahun yang penuh dengan tragedi dan peristiwa yang pasti memberi ingatan kepada ramai, iaitu pandemik COVID-19.
Advertisement
Disebabkan pandemik COVID-19 ini jugalah, kamus berbahasa Inggeris, Collins Dictionary telah memilih istilah ‘lockdown’ sebagai istilah paling popular tahun 2020.

Istilah berkenaan dipilih oleh pakar linguistik kerana maknanya mula berkembang di peringkat global ekoran daripada pandemik COVID-19.
"Pakar bahasa kami sepakat memilih perkataan ini kerana ia merupakan pengalaman penyatuan bagi berbilion penduduk dunia, yang secara kolektif memainkan peranan mereka dalam memerangi penyebaran COVID-19.
"Istilah ini dahulunya adalah kosa kata yang banyak digunakan untuk banduan di penjara.
"2020 adalah tahun di mana makna perkataan itu berubah secara drastik, ia kini merupakan satu kata kerja bagi langkah penjagaan kesihatan awam," itu yang tertulis pada laman web kamus berkenaan.
Penggunaan istilah ‘lockdown’ juga meningkat kepada 250 juta tahun ini, berbanding hanya 4,000 pada tahun 2019.

Pertama kali lockdown digunakan tahun ini adalah di Wuhan, China, yang merupakan lokasi pertama penyebaran wabak COVID-19.
Sumber: Astro Awani