Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beberapa kakitangan perubatan Hospital Teluk Intan di Perak sah dijangkiti COVID-19.

Ia berikutan selepas penularan berita menerusi aplikasi Facebook dan Whatsapp yang mendakwa berlaku peningkatan bilangan kes positif COVID-19 dalam kalangan doktor, sehingga menggangu operasi harian hospital.
Advertisement
“Dimaklumkan bahawa beberapa kakitangan perubatan telah disahkan positif COVID-19.
"Walau bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan.
“Pihak Pengurusan Hospital Teluk Intan telah mengambil tindakan pengawalan yang rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak serta tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital telah menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif COVID-19 dikenal pasti,” katanya dalam satu muat naik di akaun Facebook.

Tambahnya lagi, orang ramai digesa agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu bagi mengelakkan timbulnya panik dan cemas dalam kalangan rakyat.
Sebarang maklumat berkenaan COVID-19 hendaklah dirujuk kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel cprc@moh.gov.my.
Untuk perkembangan terkini tentang COVID-19, anda boleh klik di sini.
Sumber: Awani