Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah berjaya menurunkan kadar R-naught kepada 0.3, berbanding kadar R-naught peringkat global pada kadar 2 dan 2.5.

Bagaimanapun, pemantauan terhadap pematuhan yang melibatkan warga asing masih perlu dipertingkatkan dan menggesa setiap lapisan masyarakat patuh kepada garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan.
Advertisement
Tambah Dr Hisham lagi, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan aktiviti pemantuan dalam masyarakat.

Sekiranya terdapat jangkitan dalam sesebuah komuniti, PKPD akan dilaksanakan bagi membendung penularan yang lebih tinggi dalam komuniti berkenaan.
“Kita menyarankan rakyat Malaysia untuk patuh kepada garis panduan dan kita lihat kalau kepatuhan ditingkatkan, kita boleh mengurangkan lagi R-naught kurang daripada 0.3.
“Jadi kita jangkakan sekarang ini, kalau kita ambil tempoh PKPB sebulan lalu, kita dapat lihat kes tidak meningkat secara mendadak iaitu dua atau satu angka.
“Kita lihat rakyat Malaysia yang terlibat pun tidak tinggi iaitu hampir mencecah satu angka sahaja.
“Jadi kalau untuk tempoh sekarang ini, iaitu dari 10 Jun hingga 31 Ogos, kita akan masih memantau dan menjalankan aktiviti pengesanan.
“Kalau ada jangkitan di sesuatu lokaliti ataupun kumpulan sasar, kita akan laksanakan PKPD,” ujarnya.
Sumber: Awani