Mengigil, sakit otot, sakit tekak dan hilang deria rasa serta bau merupakan antara gejala baru yang dikesan pada pesakit COVID-19, seperti yang dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Advertisement
Sebelum ini, CDC telah menyenaraikan tiga gejala yang diketahui iaitu batuk, demam dan sesak nafas, sebagai petanda menunjukkan seseorang itu mempunyai gejala COVID-19, dan kesemua gejala ini biasanya muncul dua hingga 14 hari selepas pesakit terdedah kepada virus berkenaan.
Lebih membimbangkan, gejala sesuatu penyakit termasuk COVID-19 dan influenza biasa ini dilaporkan boleh berubah seiring dengan perubahan masa.
Menurut bekas pemangku Pengarah Jabatan Pandemik dan Ancaman AS, Mario Ramirez, gejala ini dikesan berdasarkan data dan maklumat daripada rawatan pesakit tempatan dan seluruh dunia.
Satu kajian terhadap pesakit COVID-19 di Eropah turut mendapati antara 85.6 hingga 88 peratus pesakit mengalami gejala hilang deria rasa dan bau. Sementara di Iran pula, 76 peratus pesakit COVID-19 yang melaporkan kehilangan bau memberitahu ia berlaku secara tiba-tiba sebelum gejala lain muncul.
Sumber: Awani