Enam lagi kematian baharu dicatat dalam kalangan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia pada musim ini, menjadikan keseluruhan kematian sebanyak 14 orang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci setakat semalam.
Enam jemaah itu termasuk Bawi Solek, 79 tahun, yang berasal dari Sarawak, Raksan@Hassan Matasil, 74 tahun, dari Kota Kinabalu Sabah dan Madon Mohamed, 71 tahun, dari Masai Johor.
Advertisement
Jemaah yang seterusnya ialah Roba'ayah Yusoff, 71 tahun, dari Beruas, Perak, Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74 tahun, dari Sauk, Perak dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54 tahun, dari Kota Baharu Kelantan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, kesemua mereka bagaimanapun sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah (15 Jun 2024).
"Kebanyakan mereka ini meninggal dunia kerana terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah," ujarnya kepada petugas media pada sidang media terakhir beliau di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di Abraj Janadriyah, Mekah.
Tambah Na’im, kesemua jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia ini dikebumikan sama ada di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram atau Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah.
Sumber Astro Awani