
Kerajaan Malaysia mengulangi komitmen untuk proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak yang bertanggungjawab kepada peristiwa tragik terhempasnya pesawat MH17.
Advertisement
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataannya hari ini berkata, sempena ulang tahun ke-10 tragedi itu, kerajaan bertekad bahawa proses tersebut mestilah bermatlamatkan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti, selain komited untuk mendapatkan keadilan bagi keluarga mangsa.
"Susulan tragedi ini, satu negara bersedih dan bertekad. Kami berikrar untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa untuk dibawa ke muka pengadilan," ujar MOT.
MOT juga sekali lagi merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga dan kenalan mangsa peristiwa itu.
Terdahulu, pada 17 Julai 2014 yang lalu, pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine dan mengorbankan seramai 298 penumpang dan anak kapal.
Sumber: Sinar Harian