
Sumber: Malaysia Digest
Advertisement
Sebagai tuan rumah bagi Sukan Sea 2017, penting bagi kita tunjukkan contoh teladan yang baik kepada negara luar yang datang bertandang ke sini. Seorang pemandu teksi Chong Theam Kwai, 53, patut kita jadikan contoh selepas dia memulangkan barang berharga milik pengurus pasukan futsal Thailand yang menaiki keretanya.
Dia mengambil pengurus pasukan tersebut di Stadium Panasonic Shah Alam dan menghantarnya ke hotel yang juga terletak di Shah Alam.
"Saya kemudian pergi semula ke stadium untuk mengambil pelanggan lain sebelum tersedar ada beg hitam dengan tripod di tempat duduk penumpang belakang"
"Saya terkejut dan tak tahu ia milik siapa. Ramai orang yang naik teksi saya termasuk dari Myanmar dan Thailand untuk menonton perlawanan di stadium sempena Sukan Sea KL 2017. "
" Tapi bila saya tengok tripod, ada pelekat Thailand pada barang tersebut." jelasnya selepas dihubungi Sinar Harian.
Dia kemudian terus bertanya kepada pasukan Thailand yang ada di stadium dan mereka mengetahui siapa empunya beg tersebut berdasarkan maklumat yang ada. Akhirnya beg tersebut sampai kepada pemiliknya iaitu Surapong, 55.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm
