Seorang penduduk terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Lubok Panjang, Bukit Besi, pada Isnin.
Bau busuk menjadi punca individu tersebut ingin tahu apa yang berlaku di rumah tersebut akhirnya menemui mayat sudah terbujur.
Advertisement

Kira-kira jam 8.10 pagi, mayat lelaki berusia 52 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah tersebut.
"Saya terhidu bau busuk namun pada awalnya tidak pasti arah datangnya bau busuk tersebut.
"Setelah mengamati, saya percaya bau busuk itu datangnya dari sebuah rumah berhampiran kedai makan saya sebelum saya mengajak seorang pelanggan untuk pergi ke rumah berkenaan," katanya.
Malah, lelaki berkenaan menceritakan sewaktu tiba di rumah berkenaan mereka mendapati pintu tidak berkunci.
Lebih membimbangkan apabila air paip mengalir keluar dari rumah sebelum mayat mangsa kelihatan melalui tingkap yang tidak ditutup.
"Sudah beberapa hari saya tidak nampak kelibat arwah. Kali terakhir saya melihat dia ketika berada di rumahnya pada pagi Jumaat lalu.
"Sebelum ini jika motosikalnya tiada, bermakna dia tidak ada di rumah. Tetapi motosikal arwah rosak dan dihantar ke rumah saudaranya.
"Saya pula ada terbau benda busuk sejak dua hari lalu namun tidak terfikir pula jiran saya sendiri yang meninggal dunia," katanya.
Sumber: Sinar Harian