Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir 28 April ini akan dilanjutkan lagi 2 minggu sehingga 12 Mei 2020.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.
Advertisement
“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.
“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya." ujarnya lagi dalam satu pengumuman khas.
Bagaimana pun sekiranya kes COVID-19 menunjukkan penurunan yang ketara, kerajaan mungkin akan memberi kelonggaran kepada secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.
“Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa. Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini.
“Dengan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP, kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi, atau ‘revive the economy’, secara bertahap.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.
“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.
“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan,” tambah beliau lagi.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan PKP dilanjutkan bermula 15 April dan berakhir 28 April ini.
Sumber: Awani