Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar sentiasa patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bermula hari ini.
Menurut beliau, tujuan perintah ini dikeluarkan adalah bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan ia tidak akan berjaya sekiranya berlaku pergerakan rakyat, terutama pergerakan pulang ke kampung.
Advertisement
"Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.
"Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.
"Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja. Tempoh kawalan dua minggu kerana COVID 19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.
"Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19.
"Saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan anda semua".
Tambah Muhyiddin lagi, perintah kawalan mungkin dilanjutkan andai wabak itu tidak dapat dikawal dalam tempoh dua minggu ini.
Untuk perkembangan lain berkenaan Covid-19, dapatkan maklumat terkini di sini.
Sumber: Awani