Pernah merangkul gelaran Miss World Malaysia 2019, Nisha Thayanathan kini bersama-sama barisan hadapan membanteras wabak COVID-19.

Nisha yang juga seorang doktor perubatan dari Hospital Putrajaya, memandu ke beberapa lokasi di KL dan Seremban untuk mengagihkan sumbangan seperti beras, minyak masak dan juga susu kepada golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Advertisement

“Saya dididik dengan memberi ada lebih baik daripada menerima terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik. Ibu bapa saya menjadi inspirasi.
“Saya dah lama sertai misi kemanusiaan, sepanjang perjalanan ini, saya telah bertemu dengan ramai orang susah terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Bernama.
Dr Nisha yang juga antara barisan hadapan di Hospital Putrajaya berkata ramai yang menghubunginya memerlukan bantuan sejak pandemik COVID-19 bermula.

“Selalunya saya guna duit sendiri untuk membantu mereka dan meluangkan masa terlibat dengan kerja amal.
“Semasa krisis ini, banyak pengorbanan dibuat oleh rakan-rakan saya demi menyelamatkan nyawa, bekerja siang dan malam selain terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.
“Sebagai doktor, saya mahu semua orang berhati-hati dan duduk di rumah kerana kami sedang bertungkus-lumus membasmi Covid-19,” katanya lagi kepada pemberita.
Sumber: Bernama