Selain topeng penutup mulut dan hidung, kini topi rekaan khas diperkenalkan sebagai alat pelindung diri daripada wabak COVID-19.

Sebuah sekolah rendah di Hangzhou, China telah mengambil ilham daripada pakaian kerabat raja zaman Dinasti Song, antara 960 hingga 1279, sebagai cara mengekalkan jarak antara satu sama lain ekoran daripada pandemik COVID-19.
Advertisement
Pelajar sekolah berkenaan dilihat memakai topi khas yang disertakan bersama sayap dikiri dan kanan kepala, bagi memastikan jarak sekurangnya satu meter daripada mereka.

Menurut kisah lagenda, topi yang dipakai oleh kerabat Song dahulu berfungsi supaya tidak ada orang yang boleh berbisik ketika perbicaraan dalam mahkamah sedang dijalankan.

Mempunyai fungsi yang lebih kurang sama, sekolah rendah ini kini mewajibkan pelajar mereka memakai topi berkenaan sejak sekolah mulai dibuka pada Isnin.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum ini telah menyarankan agar orang ramai berada pada jarak selamat sekurangnya satu meter dari orang lain bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Terdahulu, India juga telah memperkenalkan payung sebagai alat untuk mengekalkan jarak selamat antara satu sama lain.

Sumber: SCMP