Kerajaan Selangor memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) bermula esok, 4 Mei 2020.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudi Shari, pelaksanaan PKPBD itu adalah dengan penambahan perincian yang melibatkan perniagaan makanan, industri pembinaan dan juga sektor sosial.
Advertisement

"Restoran, penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan beroperasi mulai esok terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran dari jam 7 pagi hingga 10 malam.
"Peniaga tiada berpremis termasuk penjaja tepi jalan dan trak saji (food truck) hanya dibenarkan beroperasi selepas 12 Mei depan bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga mempunyai cukup masa untuk mengatur persediaan untuk penjarakan sosial dan 'contact tracing'.
"Sementara itu, pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitri tidak dibenarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, industri pembinaan pula dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum dengan syarat pihak syarikat perlu menyediakan Pelan Tindakan Keselamaan Kawalan Penularan Wabak COVID-19.

"Kegiatan di taman awam seperti Tasik Shah Alam, Taman Jaya dan Tasik Cempaka tidak dibenarkan.
"Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung atau tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup.
"Aktiviti hiking seperti di Bukit Gasing juga tidak dibenarkan. PBT akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang buat orang awam sewaktu PKPBD ini," katanya lagi.
Sumber: Media Selangor