Polis menasihatkan orang ramai khasnya kepada pemilik rumah supaya menyelidik dahulu latar belakang penyewa masing-masing sebelum menyewakan unit rumah.

Ini adalah selepas pembongkaran satu sindiket kegiatan perjudian dalam talian di sebuah rumah sewa dekat Taman Bukit Indah pada 1 tengah hari kelmarin, hingga menyebabkan penahanan tujuh warga tempatan berusia 18 hingga 25 tahun.
Advertisement
“Dalam kes ini, sindiket didapati menggunakan rumah sewa mereka sebagai pusat panggilan perjudian bagi membolehkannya meraih nilai transaksi kira-kira RM6,000 sehari daripada 20 hingga 30 kaki judi, yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu selama sebulan.
“Selain itu, 181 peralatan dirampas dipercayai digunakan untuk mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian iaitu termasuk empat set komputer, tujuh telefon bimbit, buku nota tercatit jenis-jenis permainan judi, 13 keping kad bank, sebuah modem dan tiga kalkulator,” kata Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar.
Menurutnya, pemilik rumah tidak mengetahui akan kegiatan itu dirumah sewa miliknya kerana tidak langsung pula tahu akan latar belakang si penyewa.
Bagaimanapun, pemilik rumah berkenaan tetap akan diambil keterangannya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Jadi di sini, saya memohon sekali lagi kepada pemilik rumah supaya mengkaji latar belakang dan aktiviti yang dilakukan penyewa mereka. Jangan sampai penyewa menyalahgunakan rumah-rumah (sewa) ini untuk aktiviti tidak sihat.
“Begitu juga dengan jiran-jiran setempat, jika ternampak di sebelah rumah terdapat sekumpulan tujuh atau lapan individu yang mencurigakan, silalah salur maklumat kepada polis untuk kami ambil tindakan,” katanya.
Sumber : Bernama