Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak menolak kemungkinan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) jika rakyat gagal patuh SOP yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Advertisement
"Kalau menyalahgunakan kelonggaran yang sudah diberikan, KKM akan beri pandangan dan nasihat. Kalau KKM merasakan perlu ditarik balik, kita akan ikut nasihat yang diberikan.
"Namun setakat ini belum ada keputusan yang diputuskan, jika pelanggaran terus berlaku kemungkinan akan menggunakan SOP yang lebih ketat lagi," katanya.
Selepas kebenaran merentas negeri dan pembukaan beberapa sektor ekonomi, ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung dan juga bercuti bersama keluarga.
"Tetapi harus diingat supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan. Sebagai contoh tular video pengunjung yang melihat persembahan di Zoo Melaka, ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kelonggaran yang diberikan.
"Selain itu, di Langkawi juga tular baru-baru ini, jadi kita harap orang ramai memberi peringatan kepada sahabat dan diri sendiri supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya lagi.
Ditanya adakah pelaksanaan sekatan jalan raya akan dilakukan semula dikawasan berisiko tinggi, beliau akan merujuk semula kepada perbincangan lanjut dan juga nasihat dari KKM.
Sumber: [1]