
Foto: Instagram
Advertisement
Pelakon, Kamal Adli menerima dengan hati terbuka apabila terpaksa menyambut ulang tahun perkahwinannya yang keempat tanpa kehadiran isteri tercinta, Uqasha Senrose.
Menurut Kamal, dia sudah merancang untuk bercuti dan mengadakan sambutan istimewa sempena hari bermakna itu, namun segalanya tidak berjalan seperti dirancang.
“Hari ini genap empat tahun kami berkahwin. Sepatutnya sudah rancang untuk sambutan, tapi jadi begini... saya reda,” katanya.
Tambah Kamal, suasana tahun ini terasa berbeza kerana isterinya tidak berada di sisi. Namun, dia menganggap situasi itu sebagai sebahagian daripada ujian dalam kehidupan berumah tangga.
“Orang kata lima tahun pertama perkahwinan memang tempoh yang paling mencabar. Saya percaya mesti ada hikmah dan perkara baik yang Allah nak bagi,” ujarnya.
Pelakon itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada peminat dan orang ramai yang terus memberi sokongan. Katanya, dia tidak berniat meraih simpati tetapi sekadar berjuang untuk mempertahankan rumah tangganya.
“Saya bukan berperang untuk berpisah, tapi berperang untuk selamatkan perkahwinan kami,” jelasnya.
Kamal juga mengakui hubungan komunikasinya dengan Uqasha kini agak terbatas dan hanya dilakukan melalui orang tengah.
“Sekarang kami berhubung macam dulu juga, pakai orang tengah. Mungkin dia masih merajuk... tapi kali ni macam lama sangat,” katanya berseloroh.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Sumber: Gempak