Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Kanak-Kanak Lelaki 6 Tahun Dari Seremban Cipta Rekod Antarabangsa, Kenal Pasti 65 Mata Wang Dunia Dalam Seminit

kanak-kanak lelaki 6 tahun dari seremban cipta rekod antarabangsa, kenal pasti 65 mata wang dunia dalam seminitFoto: Awani

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dari Seremban, Negeri Sembilan, mencipta kejutan dan mengharumkan nama negara apabila berjaya mengenal pasti 65 jenis mata wang antarabangsa hanya dalam tempoh satu minit. Kejayaan luar biasa ini telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Advertisement

Kanak-kanak yang dimaksudkan, D. Devakshean, membuktikan kemampuannya yang luar biasa dalam bidang daya ingatan dan pengetahuan global, sekali gus memukau masyarakat di peringkat tempatan dan antarabangsa. Lebih membanggakan, beliau turut diiktiraf oleh British World Record selepas berjaya mengenal pasti mata wang dari 200 buah negara dalam masa 11 minit 45 saat, menjadikannya antara individu termuda yang memiliki kebolehan luar biasa dalam mengenali maklumat antarabangsa.

Menurut ibunya, Devamalar, yang berusia 37 tahun, bakat anaknya mula terserlah sejak usia sangat muda. Malah, ketika baru berusia setahun, Devakshean sudah dapat mengecam bendera Malaysia dengan tepat apabila ditunjukkan gambar.

“Kami sedar kebolehan dia sejak kecil lagi. Apabila ditunjukkan gambar atau bendera, dia cepat mengingati dan mengecamnya. Dari situlah kami mula melatih dia secara konsisten tetapi santai,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis pengiktirafan rasmi yang diadakan di Hotel D’Sora Boutique, Seremban.

Devakshean telah mencatatkan pelbagai pencapaian luar biasa dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Pada usia dua tahun, beliau berjaya mengenal pasti 241 bendera dari seluruh dunia, manakala pada usia empat tahun, dia telah menyertai cabaran mengingati bendera dan mercu tanda negara – satu lagi kejayaan yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam majlis berprestij tersebut, Devakshean telah menerima dua pengiktirafan utama:

  • Malaysia Book of Records – Most Foreign Currencies Identified by a Child in One Minute
  • British World Record – Young Global Expert of 195 Countries Flags and Currencies of the World

kanak-kanak lelaki 6 tahun dari seremban cipta rekod antarabangsa, kenal pasti 65 mata wang dunia dalam seminit

Foto: Awani

Devamalar turut berkongsi bahawa latihan untuk cabaran yang mencetuskan rekod ini hanya dilakukan dalam tempoh sebulan semasa cuti persekolahan, dan semuanya dilakukan secara suka rela tanpa sebarang paksaan.

“Dia memang minat dengan benda-benda begini. Walaupun kami tidak menyuruh, dia sendiri akan mencari gambar dan fakta untuk dihafal. Daya ingatannya sangat menakjubkan. Bukan hanya bendera dan mata wang, malah pelbagai perkara lain turut menarik minatnya,” tambah Devamalar.

Devakshean kini menjalani pendidikan awal di sebuah sekolah swasta, manakala kedua-dua ibu bapanya sedang merancang langkah seterusnya bagi mengembangkan potensi luar biasanya.

“Kami berhasrat untuk melihat dia mencipta nama di peringkat Guinness World Records. Harapan kami, lebih ramai pihak akan menyedari bakatnya yang istimewa ini dan memberi ruang yang luas untuk dia berkembang,” ujar ibunya lagi.

Pasangan ibu bapa ini juga mendedahkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan pelbagai bidang lain yang boleh diteroka oleh Devakshean berdasarkan minat semula jadinya.

“Kami sudah tahu bagaimana untuk melatih dia dengan cara yang sesuai. Yang paling penting, dia gembira dan seronok belajar. Kami akan terus memberi sokongan penuh,” kata mereka menutup perbualan.

Sumber: Awani

ERA Muzik Hit Terkini