Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Kejayaan Pencalonan KATSEYE Di Grammy Dihujani Kontroversi, Netizen Dakwa HYBE Guna Pengaruh Industri

kejayaan pencalonan katseye di grammy dihujani kontroversi, netizen dakwa hybe guna pengaruh industriFoto: Instagram

Kejayaan kumpulan gadis global, KATSEYE, meraih dua pencalonan di Anugerah Grammy 2026 ternyata bukan hanya membawa kegembiraan buat peminat, tetapi turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila timbul dakwaan kononnya pencalonan itu dipengaruhi oleh syarikat induk mereka, HYBE.

Advertisement

Pada 8 November lalu, komuniti muzik dunia dikejutkan dengan pengumuman pencalonan Grammy apabila nama KATSEYE tersenarai dalam kategori Best Pop Duo/Group Performance menerusi lagu popular Gabriela dan Best New Artist.

Enam anggota kumpulan iaitu Lara, Megan, Sophia, Daniela, Manon dan Yoonchae menzahirkan rasa syukur dan terharu, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu mimpi yang menjadi nyata.

“Ini adalah penghormatan yang luar biasa, dan kami amat berterima kasih kepada semua yang telah menyokong sejak awal perjalanan kami,” ujar mereka dalam satu kenyataan di media sosial.

Namun di sebalik sorakan dan ucapan tahniah, muncul pula gelombang kecaman dan keraguan daripada segelintir pengguna internet yang mempersoalkan keaslian pencalonan kumpulan itu. Ada yang menuduh pihak HYBE menggunakan pengaruh besar dalam industri muzik antarabangsa untuk mendapatkan undian.

Lebih panas lagi, beberapa netizen menuding jari kepada Scooter Braun, Ketua HYBE America, kononnya individu itu memainkan peranan penting di belakang tabir bagi memastikan KATSEYE tersenarai di Grammy.

Akibatnya, istilah ‘Hybe Payola’ mula tular di platform X apabila pengguna membangkitkan isu bahawa kejayaan kumpulan itu lebih berpaksikan kuasa korporat berbanding bakat sebenar.

Namun, tidak semua berpandangan negatif. Peminat setia KATSEYE, yang digelar Eyekons, segera tampil mempertahankan idola mereka dengan menegaskan bahawa kumpulan itu sememangnya layak menerima pengiktirafan tersebut berdasarkan rekod jualan, pencapaian carta global dan konsert yang mereka tampil di serata dunia.

“Mereka sudah berusaha keras sejak hari pertama, dan semua kejayaan ini adalah hasil kerja keras mereka sendiri,” tulis seorang peminat di X.

Di sebalik perdebatan yang memuncak, kejayaan dua pencalonan ini tetap dianggap tonggak penting buat KATSEYE dan HYBE, memperkukuh kedudukan label itu dalam arena muzik antarabangsa. Ia juga mencerminkan isu yang sering dibangkitkan dalam industri mengenai sejauh mana pengaruh korporat mampu menentukan nasib dan pengiktirafan seni.

Anugerah Grammy 2026 dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2026, dan ramai yang kini menantikan sama ada KATSEYE mampu membawa pulang trofi kemenangan atau terus berdepan persoalan tentang keaslian di sebalik kejayaan mereka.

Sumber: Tribune

ERA Muzik Hit Terkini