Foto: Instagram
Pelakon terkenal, Ben Amir berkongsi berita menggembirakan apabila kekasihnya yang berasal dari Filipina kini telah memeluk agama Islam secara rasmi.
Advertisement
Perkhabaran itu disampaikan menerusi satu hantaran di Instagram, di mana Ben memuat naik video ringkas menunjukkan kekasihnya memegang dokumen bertulis Maklumat Masuk Islam.
Hantaran tersebut disertakan dengan kapsyen penuh makna yang menggambarkan rasa syukur dan kasih Ben terhadap insan istimewa itu.
“Selamat datang kepada Islam. Ambillah masa untuk belajar sedikit demi sedikit. Nikmati keindahan Islam dan ketahuilah bahawa kamu tidak pernah bersendirian.
“Semoga Allah sentiasa melindungi kamu dengan kasih sayang-Nya, dan semoga perjalanan ini membawa kamu lebih dekat kepada kedamaian, tujuan hidup serta diri sebenar kamu,” tulisnya.
Walaupun Ben tidak mendedahkan identiti kekasihnya secara terperinci, difahamkan wanita itu telah lama mengenali pelakon drama Jibril itu sebelum hubungan mereka menjadi lebih rapat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Perkongsian berkenaan segera menarik perhatian ramai peminat serta rakan artis yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa. Rata-rata memuji cara Ben menyampaikan mesej dengan penuh kelembutan serta menghargai pendekatannya yang tidak memaksa kekasihnya dalam mendalami Islam.
Ada juga netizen yang menyifatkan tindakan Ben sebagai contoh baik dalam menunjukkan keindahan Islam melalui kasih sayang dan bimbingan.
Sebelum ini, Ben Amir jarang berkongsi hal peribadi di media sosial, namun hantaran kali ini memperlihatkan sisi berbeza dirinya yang lebih terbuka berkongsi momen bermakna dalam kehidupan.
Perkembangan terbaru ini turut mencetuskan perbualan dalam kalangan peminat, dengan ramai yang mendoakan agar hubungan pasangan itu dipermudahkan dan terus kekal dalam kebaikan.
Sumber: Instagram