
Foto: Reuters
Advertisement
Malam penuh emosi di Allianz Arena yang menyaksikan Portugal menjulang gelaran kedua Liga Negara-Negara Eropah bertukar suram apabila seorang penonton dilaporkan maut selepas terjatuh dari tempat duduk ketika perlawanan berlangsung.
Insiden menyayat hati itu berlaku ketika aksi final menentang Sepanyol memasuki masa tambahan separuh masa pertama. Menurut kenyataan UEFA, mangsa dipercayai terjatuh dari aras tengah ke kawasan tempat duduk media di aras bawah dari ketinggian kira-kira lapan meter.
Pasukan paramedik dan pihak berkuasa yang berada di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan, namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Perlawanan yang penuh debaran itu berakhir dengan Portugal menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi penentuan penalti, selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar. Jaringan Cristiano Ronaldo yang ke-138 untuk negara sekali lagi mengangkat statusnya sebagai legenda, namun sorotan kemenangan itu turut dicemari oleh insiden tragik berkenaan.
Wakil kedua-dua pasukan tampil menyatakan rasa dukacita terhadap insiden tersebut. Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, dalam sidang media selepas perlawanan berkata:
"Saya ingin mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa. Kejadian ini mengingatkan kita bahawa dalam bola speak dan dalam hidup, nyawa lebih penting daripada segalanya."
Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez, turut melahirkan rasa simpati:
"Berita ini amat menyedihkan. Kami semua di Portugal ingin menyampaikan rasa simpati dan doa kepada keluarga mangsa. Ini adalah saat yang sukar."
UEFA memaklumkan siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, dan menegaskan bahawa keselamatan penonton sentiasa menjadi keutamaan.
Sumber: AFP