Foto sekadar hiasan
Pernah tak anda berbual dengan seseorang selama berjam-jam tanpa sedar masa berlalu? Tiada rasa janggal, tiada senyap panjang, seolah-olah perbualan itu mengalir secara semula jadi. Anda bercakap, dia mendengar. Dia bercakap, anda pula menambah. Semuanya terasa mudah dan harmoni, seperti ada rentak yang difahami bersama.
Advertisement
Namun tidak semua perbualan begitu. Ada juga yang terasa seperti seksaan. Setiap soalan dijawab sepatah dua, setiap senyap terasa panjang. Anda mula mencari alasan untuk beredar dan menghentikan perbualan.
Fenomena ini sebenarnya bukan sekadar tentang chemistry atau minat yang sama. Menurut ahli saraf Ben Rein, rahsianya mungkin terletak pada otak kita sendiri. Dua otak yang benar-benar serasi mungkin sedang bergetar pada frekuensi yang sama.
Bila Otak Anda dan Otaknya Berhubung
Kajian menunjukkan bahawa sahabat rapat sering memiliki struktur otak yang hampir sama, terutamanya pada bahagian yang mengawal interaksi sosial. Dalam dunia psikologi sosial, fenomena ini dikenali sebagai homophily, iaitu kecenderungan untuk menyukai orang yang mirip dengan diri sendiri.
“Orang yang serasi mungkin sebenarnya mempunyai fungsi otak yang hampir sama,” kata Rein. “Apabila dua individu berfikir dan merasai dunia dengan cara yang serupa, mereka lebih mudah berhubung.
“Secara tidak sedar, otak mereka seolah-olah berada pada gelombang yang sama.”
Foto sekadar hiasan
Interbrain Synchrony: Bila Dua Otak Menyanyi Nada Sama
Konsep ini, yang kedengaran seperti idea dari filem sains fiksyen, dinamakan interbrain synchrony. Ia berlaku apabila dua individu yang sedang berinteraksi menunjukkan corak aktiviti otak yang hampir identikal pada masa yang sama.
“Bayangkan dua orang dalam mesin pengimbas otak,” jelas Rein.
“Ketika mereka berbual atau bekerjasama, bahagian otak tertentu kedua-duanya akan aktif dalam corak yang hampir sama, seolah-olah otak mereka sedang menari bersama.”
Fenomena ini dipercayai menyokong keakraban sosial dan kerja berpasukan. Dengan kata lain, apabila anda benar-benar sekepala dengan seseorang, itu mungkin kerana otak anda secara literal sedang bergerak selaras dengan otaknya.
Cara Menyelaraskan “Gelombang” Otak Anda
Jika anda mahu membina komunikasi yang lebih lancar, Rein mencadangkan supaya anda berinteraksi dengan cara yang mewujudkan penyegerakan otak. Bertentang mata dengan orang yang anda bercakap. Duduk berhadapan supaya tumpuan terjalin secara semula jadi. Lakukan aktiviti bersama seperti menyelesaikan tugasan atau berkongsi kisah sebenar.
Kajian menunjukkan apabila dua orang melakukan aktiviti yang sama pada masa yang sama, bahagian otak yang diaktifkan juga menjadi serupa. Ini menjadikan komunikasi lebih mudah dan mesra.
Foto sekadar hiasan
Jangan Salahkan Diri Bila Tidak Serasi
Kalau anda gagal berhubung dengan seseorang, jangan cepat salahkan diri. Ia bukan semestinya salah personaliti atau kelemahan sosial. Mungkin otak anda berdua tidak selaras pada waktu itu.
Kadang-kadang, faktor seperti keletihan, tekanan, atau kelaparan pun boleh mengganggu frekuensi otak anda.
Jadi, sekiranya lain kali anda merasakan benar-benar serasi dengan seseorang, percayalah bahawa ia bukan sekadar perasaan. Otak anda mungkin benar-benar sedang 'berdansa' bersama, mencipta hubungan biologi yang tidak kelihatan tetapi dirasai dengan mendalam.
Sumber: Facebook Big Think