
Foto: Public Health Malaysia
Advertisement
Menonton konsert telah dilihat sebagai acara sosial menyeronokkan untuk seluruh lapisan umur dan segenap masyarakat. Namun begitu, sebenarnya terdapat beberapa risiko kesihatan yang serius yang boleh terjadi kepada pengunjung yang kerap ke konsert.
Menurut Public Health Malaysia, tahap bunyi di konsert boleh melebihi 100–120 dB, menyebabkan masalah pendengaran sementara (tinnitus) dan potensi kerosakan kekal jika kerap terdedah. Lebih membimbangkan, baru-baru ini terdapat sebuah konsert yang keterlaluan dan telah mengakibatkan kematian pengunjung kerana keracunan dadah perangsang sintetik, tiga daripada empat mangsa disahkan mati akibat penggunaan berlebihan bahan seperti ekstasi dan amfetamin.

Foto Hiasan
Selain itu, terdapat juga risiko fizikal seperti tercampak dalam kerumunan yang sesak dan terjatuh yang boleh mendatangkan kecederaan. Persekitaran konsert juga menyumbang kepada gangguan mental seperti tekanan emosi, overstimulasi (lampu terang, bunyi kuat) dan kecemasan akut . Kesemua ini boleh menyebabkan keletihan mental serta mempengaruhi kesejahteraan jangka panjang individu.

Foto Hiasan
Tambahan pula, ia mencetuskan pencemaran bunyi dan keresahan masyarakat setempat, mengganggu tidur dan hubungan kejiranan. Public Health Malaysia turut menekankan bahawa selain aspek rekreasi, konsert juga menuntut adanya garis panduan keselamatan yang ketat, termasuk pemeriksaan dadah, kehadiran pasukan perubatan dan kawalan lebih rapi semasa kemasukan pengunjung.
Walaupun hiburan ialah hak semua orang, konsert yang tiada kawalan menyeluruh boleh memberi kesan buruk kepada pendengaran, keselamatan fizikal, kesihatan mental, serta mengundang risiko penggunaan dadah berlebihan. Pengunjung dinasihatkan agar sentiasa mengikut garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan pengalaman konsert kekal menyeronokkan tanpa implikasi kesihatan yang mendalam.
Sumber: Public Health Malaysia