
Foto: Instagram
Advertisement
Selepas hampir setahun memendam rahsia, personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairulaming, akhirnya membuat pengumuman yang paling dinantikan peminatnya iaitu pembukaan restoran pertamanya, Rembayung.
Lebih mengejutkan, projek ini bukan calang-calang.
Menurut Khairulaming, restorannya dibina daripada kosong, di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, hanya 9 minit dari KLCC. Kos keseluruhan RM4 juta.
Ya, empat juta ringgit yang menjadi pelaburan terbesar yang pernah dibuat Khairulaming untuk satu projek.
Selepas sedekad membina empayar secara atas talian daripada resepi viral sehingga sambal segera yang sentiasa sold out, Khairulaming kini bersedia membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjayanya.

“Selepas 10 tahun dalam dunia online, I’m finally ready untuk mulakan langkah ke dunia offline,” katanya sambil memperkenalkan logo dan konsep restorannya.
Beliau turut menyifatkan Rembayung sebagai permulaan kepada perancangan 10 tahun seterusnya buat jenamanya.
Walaupun beliau belum mendedahkan sepenuhnya konsep menu atau dekorasi, peminat sudah pun teruja dengan nama yang cukup indah dan puitis itu, Rembayung.
Di media sosial, ribuan komen membanjiri hantaran pengumuman tersebut, ada yang bangga, ada yang terharu dan ramai yang sudah bersedia untuk beratur demi merasai sendiri pengalaman makan di sana.
Dengan kedudukannya yang strategik di tengah ibu kota, restoran ini dijangka menjadi hotspot baru buat peminat makanan dan pengikut setia Khairulaming. Kg Baru yang sememangnya sinonim dengan pelbagai makanan sedap kini bakal menerima satu lagi tarikan.
Sama ada anda peminat masakan KA atau sekadar pencinta makanan, satu perkara pasti Rembayung bakal menjadi antara pembukaan restoran paling dinantikan.
Dan kalau sejarah sambal viralnya jadi ukuran…
Restoran ini mungkin akan full house daripada hari pertama.
Sumber: Instagram (khairulaming)