Foto: Netflix
Filem animasi terbitan Netflix, KPop Demon Hunters, mencipta kejayaan besar apabila membawa pulang 10 trofi di majlis Annie Awards ke-53 yang berlangsung di UCLA Royce Hall, Los Angeles pada 22 Februari lalu.
Advertisement
Anugerah berprestij itu sering dianggap sebagai penanda aras tertinggi dalam industri animasi Amerika Syarikat.
Antara kategori utama yang dimenangi termasuk Filem Animasi Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakonan Suara Terbaik, selain Anugerah bagi Kesan Visual, Reka Bentuk Watak, Muzik dan Arahan Seni.
Pelakon suara utama, Arden Cho, yang memenangi anugerah Lakonan Suara Terbaik, meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.
“Ia satu penghormatan dapat membawakan watak Rumi yang berani berdepan cabaran,” katanya ketika menerima trofi.
Beliau turut berharap mesej keberanian dalam karya itu dapat memberi inspirasi kepada penonton.
“Saya harap semua orang mempunyai keberanian untuk mengatasi ketakutan seperti Rumi. Lebih bermakna apabila karya ini membantu memperkenalkan budaya Korea dan tenaga K-pop ke seluruh dunia,” ujarnya.
Annie Awards dianjurkan setiap tahun oleh cawangan Hollywood Persatuan Filem Animasi Antarabangsa dan mengiktiraf karya cemerlang dalam pelbagai kategori termasuk filem cereka, filem pendek, animasi bebas, karya televisyen dan penstriman serta projek pelajar. Ia sering digelar sebagai Oscar bagi industri animasi.
Sejak ditayangkan pada Jun tahun lalu, KPop Demon Hunters mencatat rekod tontonan tertinggi dalam kalangan kandungan animasi di Netflix.
Kejayaannya turut diteruskan apabila meraih dua kemenangan di Critics’ Choice Awards dan Golden Globe Awards, selain memenangi Grammy Award menerusi runut bunyi asalnya.
Filem ini juga tersenarai sebagai calon bagi kategori Filem Animasi Terbaik di Anugerah Akademi Oscar ke-98 yang bakal berlangsung pada Mac.
Statistik menunjukkan daripada 23 pemenang utama Annie Awards sebelum ini, 14 daripadanya berjaya membawa pulang Oscar, sekali gus meningkatkan jangkaan bahawa KPop Demon Hunters berpotensi mencipta sejarah seterusnya di pentas anugerah paling berprestij dunia itu.
Sumber: The Chosun Daily