
Foto: Agensi
Advertisement
Seekor kucing jantan daripada baka Dragon Li yang dinamakan Meiqiu bakal dilelong di China pada 3 September ini selepas pemilik asalnya gagal melunaskan hutang yang tertunggak.
Penjualan luar biasa itu dilaporkan oleh media tempatan dan menarik perhatian ramai kerana melibatkan haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada aset yang dirampas.
Menurut laporan Epoch Times, Mahkamah Yangzhou di wilayah Jiangsu telah mengeluarkan notis lelongan rasmi bagi kucing berusia tiga tahun itu menerusi platform e-dagang terkemuka, Alibaba. Nilai bidaan permulaan ditetapkan pada harga 500 yuan, bersamaan kira-kira RM290.
Meiqiu sebelum ini dimiliki sebuah syarikat berhad yang didakwa membuat pinjaman sebanyak 3.96 juta yuan (sekitar RM2.3 juta) daripada sebuah bank pada tahun 2017. Bagaimanapun, syarikat tersebut gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, sekali gus menyebabkan mahkamah mengambil tindakan merampas semua aset yang dimiliki pada tahun 2022. Antara aset yang disenaraikan termasuklah kucing baka Dragon Li itu, yang dianggarkan bernilai 714 yuan (RM420).
Selepas dirampas, pihak mahkamah menempatkan kucing tersebut di sebuah kedai haiwan peliharaan sebagai penjagaan sementara. Sejak itu, Meiqiu dilaporkan sudah tinggal di pusat berkenaan lebih dua tahun.
Meskipun nilai pasaran kucing itu tidak begitu tinggi, laporan CTWANT menyebut kos penjagaan selama tempoh dua tahun telah melebihi 20,000 yuan (sekitar RM11,800), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang terlibat jauh lebih besar berbanding nilai asalnya.
Kisah unik ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat kerana jarang sekali haiwan peliharaan terlibat secara langsung dalam kes hutang dan lelongan aset. Penjualan Meiqiu dijangka menarik minat ramai pembida, bukan sahaja kerana baka Dragon Li yang agak jarang ditemui, tetapi juga kerana kisahnya yang luar biasa.
Sumber: Epoch Times