Foto: Instagram
Penyanyi Korea Selatan, Ejae, mendedahkan pengalaman menyeramkan yang dialaminya ketika merakamkan lagu Golden, runut bunyi bagi animasi K-Pop Demon Hunters.
Advertisement
Menurutnya, kejadian itu berlaku di sebuah studio rakaman di Korea Selatan apabila tombol kawalan bunyi tiba-tiba rosak.
“Saya cuba betulkan suis volume kerana ia tak berfungsi. Saya dengar juruteknik pembantu, Sully, datang seperti biasa bila ada masalah teknikal.
“Saya dengar langkah kaki dan pintu dibuka, tapi sebaik saja tombol itu berfungsi semula, saya sedar tiada siapa pun datang,” katanya.
Lebih mengejutkan, Ejae mendakwa sempat melihat kelibat seorang lelaki tidak dikenali di dalam studio.
“Dalam masa beberapa saat saja, saya nampak seorang lelaki tinggi memakai flannel menghampiri saya. Tak lama kemudian, pengarah muzik masuk dan ajak sambung kerja, jadi saya tak sempat fikir panjang,” ujarnya.
Keesokan harinya, apabila dia menceritakan kejadian itu kepada kru studio, mereka mengaku sudah biasa mendengar tentang ‘hantu lelaki’ di tingkat tiga dan ‘hantu wanita’ di tingkat empat bangunan tersebut.
Ejae berkongsi kisah itu ketika menjadi tetamu program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon.
Tambahnya, ibunya pernah memberitahu tentang mitos popular di Korea yang mengaitkan kejadian paranormal dengan keberuntungan dalam muzik.
“Ibu saya kata, kalau semasa merakam lagu di studio seseorang ternampak hantu, lagu itu akan jadi hits,” katanya sambil ketawa.
Sumber: YouTube