Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei telah menitipkan sedikit nasihat kepada rakyat Malaysia supaya kekal duduk di rumah susulan daripada penularan wabak COVID-19.

Advertisement
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak balik kampung selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan yang telahpun bermula sejak semalam.
“Saya minta tolong semua duduk di rumah jangan keluar sementara ini. Jangan balik kampung macam cuti raya. Kau mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang.
“Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat,” katanya menerusi kapsyen di Instagram.
Beliau turut menceritakan kisah lucu ketika berkunjung ke sebuah pasaraya selepas isterinya meminta untuk membeli barangan dapur baru-baru ini.
“Dua hari lalu, ada khabar angin kawalan pergerakan berkenaan coronavirus ini. Jadi Mew Choo pun suruh pergi beli apa yang patut untuk dua minggu ni. Dia add maths (matematik tambahan) lagi pandai, jadi saya ikut ‘shopping list’ isteri.
“Family empat orang, ayam lima ekor, beras satu beg, sayur (untuk) dua minggu, maggi dua pek, telur dua dozen, buah, toilet paper (tisu tandas) satu beg.
“Tapi bila sampai supermarket (pasaraya), aduhai! Ramainya makcik dan pakcik berlumba maraton dengan troli. Kalah Khairul Hafiz Jantan!.
“Nasib baik sempat lagi dapatkan ‘shopping list’ isteri. Tapi tisu tandas saya terlambat. Ternganga saya tengok mamat depan tapao (borong) 10 beg tisu jamban,”, cerita jaguh badminton negara itu.
Diakhir kata, beliau turut mendoakan agar krisis ini kembali pulih dan berterima kasih kepada semua kakiangan hospital yang terlibat dalam misi kali ini.
Untuk perkembangan lain berkenaan Covid-19, dapatkan maklumat terkini di sini.