Foto: Pejabat Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, telah dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025.
Advertisement
Istiadat tersebut berlangsung pada 30 Julai 2025 di Dewan Sri Pinang, George Town, bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-84 Yang Dipertua Negeri, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib.
Pada usia 42 tahun, Dato’ Seri Lee Chong Wei merupakan antara 1,530 individu yang menerima darjah kebesaran dan pingat pada majlis tersebut. Pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan besarnya dalam arena sukan, khususnya badminton.
Lee Chong Wei dikenali sebagai salah satu figura sukan paling cemerlang negara dengan pencapaian luar biasa, termasuk mengekalkan kedudukan sebagai pemain badminton nombor satu dunia selama 348 minggu atau hampir tujuh tahun.
Beliau juga berjaya membawa pulang tiga pingat perak dalam tiga edisi berturut-turut Sukan Olimpik, sekali gus meletakkan namanya dalam sejarah sukan tanah air.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya, beliau meluahkan penghargaan atas penganugerahan tersebut dan menzahirkan rasa terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Menurut beliau, walaupun telah bersara daripada sukan profesional, semangat cintakan negara, terutamanya negeri kelahirannya Pulau Pinang, sentiasa dibawa ke mana sahaja.
Beliau turut menyatakan bahawa gelaran tersebut bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk semua pihak yang sentiasa menyokongnya sepanjang perjalanan sebagai atlet negara.
Sumber: Instagram