Foto: Facebook
Pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Si-young, 43 tahun, selamat menimang cahaya mata kedua hasil pemindahan embrio beku yang disimpan sejak zaman perkahwinannya dahulu.
Advertisement
Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Lee menerusi laman media sosialnya pada 5 November lalu. Dalam hantaran tersebut, dia memuat naik gambar sedang mendukung bayinya sambil menulis,
“Saya akan anggap ini sebagai hadiah daripada Tuhan kepada seorang ibu, dan saya berjanji akan membahagiakan kamu sepanjang hidup.
Lee turut berkongsi satu lagi gambar manis memperlihatkan bayi perempuannya sedang tidur sambil menggenggam jarinya, dengan kapsyen ringkas,
“Hello, malaikat,".
Menerusi kenyataan rasmi, agensi pengurusannya Ace Factory memaklumkan,
“Lee Si-young baru sahaja melahirkan seorang anak perempuan. Kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat. Lee akan kembali bekerja selepas pulih sepenuhnya,"
Lee sebelum ini berkahwin dengan seorang ahli perniagaan pada September 2017, namun perkahwinan mereka berakhir awal tahun ini. Pada Julai lalu, pelakon itu mendedahkan bahawa dia sedang mengandung hasil daripada pemindahan embrio beku yang dilakukan selepas perceraian.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat apabila tempoh penyimpanan embrio yang dihasilkan menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF) hampir tamat.
“Walaupun bekas suami tidak bersetuju, saya memilih untuk meneruskannya dan bersedia menanggung segala keputusan ini,” katanya.
Di Korea Selatan, Akta Bioetika dan Keselamatan hanya mewajibkan persetujuan bertulis semasa pengumpulan ovum atau sperma, namun tiada undang-undang yang memerlukan persetujuan kedua-dua pihak bagi pemindahan embrio beku.
Media tempatan melaporkan bahawa bekas suami Lee telah menyatakan kesediaan untuk turut bertanggungjawab terhadap anak itu. Pasangan berkenaan turut mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan pada tahun 2018.
Sumber: Portal Chosun