
Foto: Agensi
Advertisement
Seorang lelaki bujang dari Pekalongan, yang terletak di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, tampil mendapatkan bantuan pihak berkuasa selepas mendakwa dirinya mengalami tekanan emosi akibat gangguan berterusan daripada seorang wanita berstatus janda anak dua, menurut laporan portal berita Lambe Turah.
Lelaki terbabit yang dikenali sebagai MA menjelaskan bahawa mereka mula berkenalan menerusi media sosial kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan untuk berjumpa dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat.
“Sepanjang dua bulan itu, kami kerap menjalinkan hubungan kerana saya sering diajak olehnya. Namun, hati saya mula tawar selepas saya menemui mesej-mesejnya bersama lelaki lain. Sejak dari situ, saya mula mengambil keputusan untuk menjauhkan diri,” ujar MA ketika menceritakan pengalamannya.
Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin rumit apabila seorang lelaki yang mengaku sebagai bapa saudara kepada wanita berkenaan tiba-tiba datang ke rumah MA. Lelaki itu bukan sahaja mengaku dirinya sebagai anggota polis, malah turut mengeluarkan ugutan terhadap MA.
“Dia mengugut untuk memenjarakan saya sekiranya saya enggan berkahwin dengan wanita tersebut,” tambah MA lagi yang jelas berasa tertekan dengan situasi yang berlaku.
Susulan kejadian itu, satu agensi bantuan guaman masyarakat iaitu Lembaga Bantuan Hukum (LBH) tampil memberi sokongan dan menyatakan kesediaan untuk membantu MA dalam menyelesaikan isu berkenaan dari sudut undang-undang.
Jurucakap LBH memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan hak MA sebagai individu yang tertekan dan berdepan ugutan terus dibela serta tidak diabaikan.
Kes ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, terutama melibatkan isu hubungan peribadi yang menjadi tekanan emosi dan seterusnya membawa kepada campur tangan pihak berkuasa serta badan guaman.
Sumber: Agensi