
Foto: Tangkap layar video
Advertisement
Keterbatasan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai sesuatu impian. Itulah yang dibuktikan oleh seorang lelaki cacat penglihatan apabila berjaya menamatkan larian sejauh 21 kilometer dalam sebuah acara larian, sekali gus menyentuh hati ribuan warga maya.
Menerusi satu perkongsian video di akaun TikTok milik pengguna Adry Fazmi, lelaki istimewa itu kelihatan berlari dengan penuh semangat sambil dibantu oleh ahli keluarga serta rakan-rakan yang setia di sisinya sepanjang acara berlangsung.
Susulan daripada itu, video tersebut menjadi tular dan meraih perhatian ramai yang terinspirasi dengan keazaman dan semangat juangnya yang luar biasa.
Dalam rakaman berkenaan, lelaki tersebut turut berkongsi perasaannya yang mengakui bahawa menamatkan larian sejauh itu merupakan satu pencapaian yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum ini.
“Sebagai seorang yang cacat penglihatan, berlari sejauh 21 kilometer terasa seperti satu mimpi yang mustahil untuk dicapai.
“Namun dengan sokongan daripada keluarga, pasangan hidup serta kawan-kawan yang sentiasa memberi dorongan, saya memperoleh kekuatan untuk terus melangkah. Tiada apa yang mustahil,” katanya dalam nada penuh emosi menerusi klip berkenaan.
@adryfazmi With the right family, partner and circle of friends, nothing is impossible. As someone who is visually impaired, running 21KM felt like a dream that was out of reach. But with their support, I found the strength to keep moving. If you know someone who is struggling, please reach out. Your encouragement or just being there could be their pivotal moment. A huge thank you to my incredible partner, Alyaa, who was also our logistics shero, and to my best friends, the lovely couple @ammarnaimazmi & @Aida Shafit who were my guide runners. #scoremarathon2025 #AIAscoremarathon #run #halfmarathon #Fitness #dei #blindrunner #visuallyimpaired #fyp #foryou #foryoupage #malaysia #underarmour #underarmourmalaysia #asics #kl ♬ Epic Music(863502) - Draganov89
Kisah beliau nyata memberi inspirasi kepada ramai, malah ruang komen di TikTok turut dibanjiri dengan ucapan tahniah dan pujian daripada netizen yang kagum dengan semangat kental yang ditonjolkan.
Seorang pengguna bernama Zura Zainal menulis,
“Awak sangat istimewa kerana bukan sahaja berjaya menamatkan larian ini, malah dikelilingi kawan-kawan positif yang tidak pernah berhenti memberi semangat. Tahniah!”
Manakala pengguna lain, Elle Kayu turut berkongsi perasaannya,
“Abang sebenarnya sudah menang dalam kehidupan ini kerana dikurniakan keluarga dan rakan-rakan yang ikhlas serta menyokong tanpa syarat. Semoga abang terus dirahmati.”
Seorang lagi pengguna, Annurmrshamizie pula berkata,
“Saya benar-benar terharu dengan semangat yang ditunjukkan. Tahniah juga buat keluarga dan kawan-kawan abang yang setia hingga ke garisan penamat. Saya bangga dengan anda semua.”
Kisah lelaki ini menjadi bukti bahawa dengan semangat, keazaman dan sokongan insan tersayang, tiada apa yang mustahil untuk dicapai, meskipun berhadapan dengan kekurangan dari segi fizikal.
Semoga kisah inspirasi ini menjadi pemangkin semangat kepada masyarakat untuk terus melangkah dalam kehidupan, walau apa pun cabaran yang mendatang.
Sumber: TikTok