Skip to main content

Advertisement

Hiburan

[Video] Lelaki Guna Telefon Ketika Bertugas, Pekerja Gudang Maut Terjatuh Dalam Lif Dan Ditempa Forklift

[video] lelaki guna telefon ketika bertugas, pekerja gudang maut terjatuh dalam lif dan ditempa forkliftFoto: Tangkapan skrin layar X

Seorang pekerja gudang di Tiongkok dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam ruang lif dan dihempap troli forklift yang dibawanya, dalam satu kejadian tragis yang berlaku pada 24 Jun lalu. Insiden tersebut dipercayai berpunca daripada kelalaian mangsa yang terlalu asyik menggunakan telefon bimbit ketika sedang bertugas.

Advertisement

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang tular di media sosial, lelaki itu dilihat menarik troli forklift sambil matanya tertumpu kepada skrin telefon pintarnya.

Setibanya di hadapan pintu lif, mangsa membuka pintu tersebut dan terus melangkah masuk tanpa menyedari bahawa lif masih belum tiba di tingkat berkenaan. Akibat tindakan itu, mangsa terjatuh ke dalam ruang kosong lif bersama troli yang dibawanya, lalu dihempap dengan berat troli tersebut.

Difahamkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Tiada maklumat lanjut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan mengenai identiti mangsa atau siasatan lanjut berkenaan kejadian tersebut setakat ini.

Insiden menyayat hati ini mengundang reaksi ramai, khususnya dalam kalangan warganet yang rata-rata menyuarakan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa mangsa namun dalam masa yang sama menekankan kepentingan memberi perhatian penuh semasa bekerja.

Mereka menyifatkan penggunaan telefon bimbit ketika bertugas di kawasan berisiko tinggi sebagai satu bentuk kecuaian yang boleh membahayakan nyawa.

 

 

Dalam sektor perindustrian berat seperti logistik dan pergudangan, kepekaan terhadap persekitaran serta pematuhan kepada langkah keselamatan seharusnya menjadi keutamaan setiap pekerja.

Ramai juga menyarankan agar pihak majikan menetapkan garis panduan yang lebih ketat berkaitan penggunaan peranti elektronik sewaktu bekerja demi mengurangkan risiko kemalangan yang tidak diingini.

Sekiranya kejadian sebegini berlaku di Malaysia, pakar keselamatan pekerjaan memaklumkan bahawa pekerja yang terlibat dalam kemalangan akibat kecuaian sendiri seperti menggunakan telefon bimbit tanpa kebenaran ketika bekerja mungkin tidak layak untuk membuat sebarang tuntutan perlindungan insurans atau daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Oleh itu, pekerja perlu lebih peka terhadap peraturan serta menjaga disiplin kerja agar tidak mengundang kemudaratan kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

Insiden ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berwaspada ketika berada di tempat kerja, terutama apabila mengendalikan peralatan berat atau berada di kawasan berisiko.

Satu detik kealpaan mampu mengundang musibah yang tidak hanya menamatkan sebuah nyawa, malah turut memberi kesan besar kepada keluarga dan rakan sekerja yang ditinggalkan.

Sumber: Majoriti

ERA Muzik Hit Terkini