Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Rapper Popular Lil Nas X Ditahan Polis, Disyaki Di Bawah Pengaruh Dadah

rapper popular lil nas x ditahan polis, disyaki di bawah pengaruh dadahFoto: Forbes

Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Lil Nas X, dilaporkan ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menyerang anggota polis ketika ditemui berkeliaran hanya dengan berseluar dalam putih di kawasan Studio City, Los Angeles.

Advertisement

Menurut laporan media antarabangsa, kejadian berlaku pada awal pagi apabila saksi melihat artis berusia 26 tahun itu, yang nama sebenarnya ialah Montero Lamar Hill, dalam keadaan kebingungan sambil merayau di sekitar Ventura Boulevard.

Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan menerima aduan orang awam berhubung insiden berkenaan, namun tidak mendedahkan identiti individu yang ditahan.

“Pada jam kira-kira 5 pagi, kami menerima panggilan berhubung seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel yang merayau di blok 11000 Ventura Boulevard.

“Apabila pegawai tiba di lokasi, suspek bertindak meluru ke arah anggota polis sebelum berjaya ditahan. Dia kemudiannya dihantar ke hospital kerana disyaki mengalami masalah overdosis sebelum ditahan atas kesalahan menyerang pegawai polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa saksi memaklumkan, Lil Nas X yang hanya memakai seluar dalam bersama but koboi dilihat sempat menyanyi sambil mengajak orang ramai ke sebuah pesta berhampiran lokasi tersebut.

“Dia berjalan sambil berkata ‘Hey, jangan lambat ke pesta malam ini’, seolah-olah sedang mempromosikan sebuah acara hiburan,” ujar salah seorang saksi.

Difahamkan, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Industry Baby itu ditahan di lokap selepas menerima rawatan kecemasan akibat terlebih dos dadah. Setakat ini, wakil rasmi Lil Nas X masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian yang tular di media sosial tersebut.

Untuk rekod, bintang kelahiran Atlanta itu mula dikenali selepas kemunculan single Old Town Road pada tahun 2018 yang mencetuskan fenomena besar di peringkat antarabangsa. Beliau yang juga penerima dua Anugerah Grammy, sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital empat bulan lalu akibat penyakit Bell’s Palsy, iaitu kelumpuhan otot pada bahagian wajah.

Sumber: Forbes

ERA Muzik Hit Terkini