Foto: Sinar Harian
Lima remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata kesat serta mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Advertisement
Pertuduhan dibacakan dalam prosiding tertutup yang berlangsung pada Rabu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, yang bersidang khusus bagi Mahkamah Kanak-Kanak.
Berdasarkan pertuduhan, pada 15 Julai lalu antara jam 10 hingga 11 malam di blok asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar, kesemua tertuduh didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa, yang dipercayai boleh menyinggung perasaan serta menjejaskan emosi pelajar berusia 13 tahun itu.
Tindakan tersebut dikatakan dilakukan secara bersama dan ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan, manakala pihak pembelaan diwakili peguam terkenal, Datuk Ram Singh.
Sementara itu, Nor Azizah ketika ditemui pemberita selepas prosiding menjelaskan bahawa mahkamah telah membenarkan permohonan perintah larangan (gag order) yang dikemukakan oleh peguam bela bagi melindungi identiti serta maklumat berkaitan tertuduh memandangkan mereka masih berstatus bawah umur.
Untuk rekod, Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Sumber: Sinar Harian