Foto: Instagram
Astro Shaw sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperluaskan horizon sinema tempatan melalui penerbitan filem terbaharu berjudul Malam Terlarang, sebuah karya bergenre seram thriller yang diinspirasikan daripada kisah benar dan mitos misteri masyarakat Nusantara.
Advertisement
Kekuatan utama filem ini terletak pada jalan ceritanya yang segar dan relevan, menggabungkan elemen seram, konflik emosi serta nilai budaya yang jarang diketengahkan dalam layar perak tempatan. Antara yang menarik ialah penggambaran ritual puja pantai yang menjadi latar kepada kebangkitan semula legenda dewi laut Nusantara, Pamakbul.
Malam Terlarang mengetengahkan tema “Bila Bertuhankan Nafsu”, yang menggambarkan manusia sanggup menuruti keinginan duniawi tanpa batasan. Berlatar tahun 1980-an, kisah ini mengisahkan sebuah keluarga yang menyimpan pelbagai rahsia merentasi generasi.
Watak utama, Mawar, seorang gadis berusia 18 tahun lakonan Shasha Abedul, menetap di Kampung Pasir Larung. Impiannya untuk menjadi wartawan terpaksa ditangguhkan demi menjaga ibunya, Sarimah, sementara bapanya, Omar, sibuk dengan urusan politik. Namun, kematian mengejut kakaknya, Safar, membawa Mawar ke dalam siri gangguan mistik dan kejadian paranormal yang mendorongnya menyelidik punca sebenar tragedi itu.
Karakter Mawar digambarkan sebagai wanita muda yang tegas dan berjiwa besar, memperlihatkan peralihan genre seram tempatan ke arah penerokaan psikologi dan trauma manusia, berbanding sekadar penceritaan berasaskan entiti ghaib.
Zul Ariffin tampil sebagai Omar, watak yang menuntut transformasi fizikal dan emosi, manakala pelakon tersohor Sofia Jane menjayakan peranan utama dalam filem seram ini buat pertama kali dalam kariernya. Barisan pelakon turut dimeriahkan oleh Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Menurut Penerbit Eksekutif Malam Terlarang yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, genre seram kekal menjadi pilihan penonton bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Beliau menegaskan bahawa filem ini membawa keunikan tersendiri dengan mengetengahkan kisah mistik Nusantara seperti ritual pemujaan pantai, yang memberi sentuhan lokal dan keaslian budaya kepada naskhah ini.
Lokasi penggambaran dijalankan di sekitar Pantai Morib dan Kuala Selangor, menampilkan keindahan landskap semula jadi seperti paya bakau dan pesisiran pantai. Rumah utama yang menjadi lokasi penting dalam cerita turut dibaik pulih sepenuhnya bagi menyesuaikan suasana dan naratif filem.
Astro Shaw menaruh kepercayaan kepada pengarah baharu, Nurhanisham Muhammad atau Labu, yang sebelum ini dikenali sebagai Pengarah Fotografi berpengalaman serta pernah mengarahkan drama premium Astro Originals: X-Change. Kepakaran beliau dalam bidang sinematografi jelas menyerlahkan kekuatan visual Malam Terlarang, menjadikannya karya yang sarat dengan nilai estetik dan sinematik.
Idea asal filem ini dicetuskan oleh tenaga kreatif Astro Shaw, Hazo Mahayuddin, bersama Nazifdin Nasrudin, Haris M. Nor dan Ariff Zulkarnain. Produksi pula digerakkan oleh Infinitus Gold.
Tiket tayangan Malam Terlarang mula dijual pada 27 Oktober di semua pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Filem ini akan mula ditayangkan pada 30 Oktober, manakala di Kemboja ia ditayangkan lebih awal bermula 27 Oktober.
Penonton turut berpeluang menemui barisan pelakon pada 1, 2, 8 dan 9 November di pawagam terpilih sekitar Lembah Klang. Untuk perkembangan terkini dan klip eksklusif, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak dengan tanda pagar #MalamTerlarang.