Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Malaysia Kecam Serangan Udara Israel di Doha

malaysia kecam serangan udara israel di doha

Foto: Facebook

Advertisement

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel yang menyasarkan ibu negara Qatar, Doha, pada Selasa lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai pencerobohan melampau serta pelanggaran jelas terhadap kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa.

“Serangan tidak berperikemanusiaan ini membahayakan nyawa orang awam, menyerang sebuah ibu negara yang berdaulat, dan berisiko mencetuskan ketegangan lebih serius di rantau yang sudah pun bergolak.

“Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam pengantaraan dan dialog di Asia Barat, Israel telah menunjukkan sikap tidak menghormati perdamaian dan diplomasi. Serangan seperti ini sama sekali tidak dapat diterima dan tidak boleh dipertahankan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menegaskan, Malaysia menyatakan solidariti penuh terhadap Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa segera mengambil tindakan bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencerobohan keterlaluan itu.

 

 

Pada Selasa, Israel melancarkan serangan udara ke atas pejabat pemimpin Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha. Qatar sebelum ini memainkan peranan sebagai tuan rumah rundingan gencatan senjata serta saluran utama bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tindakan Israel itu dikecam hebat masyarakat antarabangsa dan dilihat sebagai peluasan konflik yang boleh menjejaskan keselamatan Teluk serta mencetuskan ketegangan dengan negara Arab lain yang menjadi perantara dalam usaha damai Palestin-Israel.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Doha mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden tersebut. Dalam kenyataan hari ini, kedutaan menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar agar sentiasa berjaga-jaga, menjauhi kawasan kejadian, dan mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih pihak berkuasa tempatan.

Kerajaan Qatar turut memberi jaminan bahawa keadaan di Doha kini terkawal sepenuhnya dan ruang udara negara itu kekal beroperasi.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Doha melalui emel [mwdoha@kln.gov.my](mailto:mwdoha@kln.gov.my) atau talian +974 4483 6463 (waktu pejabat) dan +974 3374 6733 (selepas waktu pejabat).

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim, Astro AWANI

ERA Muzik Hit Terkini